Air Masin Alternatif Bekalan Air Mentah. - SADA




LANGKAWI: Penggunaan air masin sebagai sumber bekalan air mentah adalah antara pelan alternatif yang bakal dilaksanakan bagi mengelak pulau ini menghadapi krisis air bersih menjelang 2018. 

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Adzmi Din, berkata langkah itu perlu kerana pembangunan yang semakin pesat di pulau itu memerlukan bekalan air bersih yang lebih banyak. 

"Selain itu, aspek menaikkan kapasiti loji rawatan air di Sungai Baru, Perlis dan penambahan paip dasar laut untuk tujuan penghantaran lebih banyak air mentah ke Langkawi turut menjadi tumpuan SADA.




"Kami sudah melantik satu pasukan perunding untuk membuat kajian berkaitan perkara itu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Permulaan dan Makmal Pentaksiran Nilai bagi Kajian Pembangunan Skim Bekalan Air Langkawi di sini, hari ini. 

Mesyuarat selama dua hari itu dihadiri 20 peserta mewakili SADA, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah dan Taliworks Langkawi Sdn Bhd (Taliworks Langkawi). 

Pada sebelah petang, Adzmi mengetuai peserta melawat tapak kajian di Loji Rawatan Air Padang Saga, Bukit Kemboja, Permatang Padang Saga dan Pantai Chenang. Katanya, kajian selama enam bulan bermula Isnin lalu itu membabitkan kos sebanyak RM3 juta dengan dana diperoleh daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).- BH


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post