456 Kawasan Rukun Tetangga (KRT)Telah Ditubuhkan Di Kedah.
ALOR SETAR - Sebanyak 456 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah ditubuhkan di Kedah, dalam usaha meningkatkan perpaduan seiring dengan hasrat kerajaan ke arah penyatuan nasional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata penubuhan KRT sebagai entiti yang diberi tanggungjawab untuk mengukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi berjaya memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan dalam memantapkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.
"Saya menyeru agar semua warga Rukun Tetangga termasuk ahli sekretariat Rukun Negara di peringkat universiti dapat melaksanakan program dan aktiviti berimpak tinggi dengan penuh komited dan bertanggungjawab supaya hasrat kerajaan untuk mencapai gemilang perpaduan dapat direalisasikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Simpulan Kasih DiRaja 2016 di Keriang Hills Resort, hari ini.
Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim yang juga Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, berkenan hadir pada majlis itu bertujuan mengeratkan hubungan antara pihak istana dengan warga KRT dan orang ramai.
Tunku Puteri Intan Safinaz turut berkenan menyampaikan sumbangan bantuan sara hidup dan perubatan kepada 123 penerima.
Kurup berkata sebanyak 257 Skim Rondaan Sukarela (SRS) turut ditubuhkan di negeri jelapang padi itu.
"Saya yakin ia dapat merangsang komuniti untuk terus berbakti bagi memastikan kawasan kediaman mereka sentiasa terpelihara daripada sebarang gangguan, pencerobohan dan perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan penduduk," katanya. - Bernama