Kedah Harap Projek KXP Dilaksanakan - Bashah

Muafakat Kedah

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menaruh harapan tinggi kepada kerajaan Persekutuan untuk memberi ‘lampu hijau’ bagi membolehkan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dirancang dapat dilaksanakan segera.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, hasrat itu telah disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah selepas beliau melakukan kunjungan hormat berikutan pelantikan sebagai timbalan menteri yang baharu, bulan lalu.
“Pembinaan KXP akan meng­ambil masa, namun kerajaan Kedah mengharapkan ‘suatu sua­ra’ atau keyakinan mendapat sokongan penuh kerajaan Pusat bahawa lapangan terbang itu wajar dibina.
“Saya akan bawa perkara ini kepada Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memerlukan kelulusan dan peruntukan besar daripada kerajaan Pusat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Othman, kerajaan ne­geri juga mengharapkan Kementerian Kewangan dapat menyenaraikan projek pembinaan litar lumba dan sistem penyuraian trafik di bandar Alor Setar dan laluan ke Kangar, Perlis dalam Bajet 2017.
“Menteri Besar berharap kerajaan Pusat dapat memberi peruntukan bagi membolehkan projek yang menjadi agenda kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran daripada pembangkang dapat dilaksanakan segera.
“Saya akan bawa hasrat untuk mempercepatkan pembinaan litar lumba itu dengan segera kerana dari segi perancangan, dokumentasi dan reka bentuk telah siap, namun perlu menunggu kelulusan rasmi daripada Kementerian Kewangan dan sekiranya ia diluluskan dengan segera, kerja-kerja pembinaan boleh berjalan dengan segera.
“Selain itu, saya juga akan bawa hasrat untuk pembinaan sistem penyuraian trafik di bandar ini dan laluan ke Kangar, Perlis. Kita akan pertimbangkannya kerana kita sedia maklum Kedah memerlukan perhatian daripada kerajaan Pusat kerana negeri ini kurang sumber dalaman,” ujarnya. - Utusan



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post