PRU14: MENGAKRAB SOKONGAN PENGUNDI MUDA - PEMUDA KEDAH


Penulis mendapat banyak ulas bicara dan pandangan positif selepas Majlis Pelancaran Briged Gempur 2314, Pemuda BN Kedah di Jerai tempohari. Rata-rata orang muda yang hadir cukup rasa terinspirasi dengan ucapan, tonasi suara yang dilontarkan oleh YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Mereka tidak asing dengan kemampuan dan kewibawaan YB Khairy. Namun, dalam menyuasanai iklim suhu pilihanraya, nada suara dan lenggok Ketua Pemuda UMNO Malaysia akan berubah sekelip mata. Dalam menyaring isu-isu berkait perihal pilihanraya, sememangnya Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak perlu silu dan segan dalam mengemukakan pandangan.


Jika ada isu, ianya mesti dibangkit dan diperkatakan secara berdepan. Jika gendang pilihanraya yang dijadikan ukuran, rasanya minda dan hati anak muda di Kedah, sudah mula menjurus ke arah pilihanraya. Namun, ada sisi menarik yang ingin penulis kongsikan di dalam artikel kali ini.

Apa yang menarik adalah pandangan ramai kalangan anak muda di Kedah, berkenaan keindahan politik UMNO dan Barisan Nasional yang mampu menggandingkan sora pengalaman (Menteri Besar Kedah) dan nada masa hadapan (Ketua Pemuda UMNO Malaysia), di atas pentas yang sama. Pada mereka, acara pada hari perasmian berkenaan cukup memberi kesan yang luar biasa.


Pembawaan gaya dan lagam bahasa bersahaja yang selalu dibawa oleh Menteri Besar Kedah memang cukup kena dengan suasana politik negeri. Namun, apabila pentas diambil oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, 'lingkaran pemikiran' akan menjadi lengkap apabila cabaran dan gugatan baru anak muda, disulam sama di dalam penyampaian ucapan politik yang terbuka dan bersahaja.

Orang muda, menurut ramai rakan penulis, sama sekali tidak mahu meminggirkan fikrah dan pandangan orang lama di dalam sayembara politik PRU14 nanti. Apa yang mereka mahukan, hanyalah keperluan untuk mengadakan pendekatan yang "jelas" dan "tuntas" dalam membuka ruang seadil mungkin kepada kepimpinan pelapis baru dalam membawa cabaran parti.

Orang muda bukan mahu ambil jalan mudah dan senang di dalam perkara ini. Mereka hanya mahukan agar sistem nilaian kewibawaan bakal calon tidak terlalu bersanggit dan bergesek dengan isu pengalaman dan umur. Sekian lama, kepimpinan dan parti bercakap akan judul 'peremajaan parti'; dan ianya mestilah diterjemah dengan sesuai di lembah peraduan politik PRU-14 nanti.


Tidak timbul soal kumpulan anak muda yang lupa diri dan mahu 'naik cepat' di dalam suasana politik mutakhir ini. Aura dan roman muka politik mestilah disesuaikan dengan suasana dan cabaran semasa. Sebarang wasangka dan curiga, bahawa 'orang muda' mempunyai agenda yang tersendiri tidak perlu kita terlalu main-mainkan di dalam fikiran.

Transformasi politik tidak mungkin akan berlaku dengan organik sekiranya kita tidak merobah sama tatanan dan tertib pemain yang bakal kita wajahkan mewakili parti dan kerajaan. Disinilah sebenarnya keperkasaan politik akan teruji. Keberanian kita dalam membuat keputusan akan turut diperhati oleh pengundi muda di luar sana.

UMNO dan Barisan Nasional tidak akan mampu mengekalkan wibawa politik tanpa iltizam dan keberanian melakukan perubahan yang wajar kepada struktur yang ada. Di antara kekuatan utama pemimpin besar seperti Almarhum Tun Razak sendiri, sebagai misal, adalah keberanian melahirkan lebih ramai orang muda yang digelar 'Budak Razak' (Razak Boys) di dalam pentadbiran kerajaan dan parti.

Ini manifestasi kekosenan politik. Ini petanda keberanian untuk membolehkan sistem perantisan politik dapat disegarkan sesuai dengan keperluan masa. Akhirnya, kumpulan muda inilah yang akhirnya mendaki tangga politik dengan penuh keyakinan - dek kerana ruang dan peluang yang diberikan oleh pucuk pimpinan.



Hari ini, iklim politik menjadi sangat tidak menentu dan cacamarba. Pandangan politik orang muda sudah menjadi berlapis-lapis, sehinggakan kita perlu mengakrab pandangan politik mereka dengan berani, namun cukup berhati-hati. Hari ini, sementara satu kumpulan menjulang demokrasi dengan pesanan agar anak muda membuat keputusan di peti undi; ada kelompok lain yang menghujah demokrasi dengan merosakkan undi!

Mereka pada umumnya, adalah gerombol puak orang muda yang sama - namun punya pendekatan dan pembudayaan demokrasi yang berbeza-beza. Itu belum lagi keperluan kita merapati kefahaman kumpulan yang terlalu idealis, yang menganggap semua perkara dan keputusan boleh dibuat bersandarkan gugusan teori politik yang mereka belajar di dewan kuliah.

Neraca nilaian kesiagaan pemimpin muda dalam mendepani cabaran politik kontemporari perlu lebih adil dan dikendurkan sedikit bagi membuka ruang kepada pelapis baru. Ini tidak bermakna kita perlu berkompromi soal kesetiaan dan kesungguhan mempertahan pemimpin dan parti. Itu kita tidak wajar dikompromi sama sekali.

Melentur garis ukur pendedahan politik wajar dilaksana oleh kalangan naziran parti dengan penuh keikhlasan. Tunjang utama, adalah memastikan parti mampu diperteguh dengan kesungguhan politik kumpulan baru yang wibawa dan mampu. Wibawa keilmuan juga perlu dinilai dan diberikan pemarkahan yang saksama oleh pihak yang berkenaan.

Ramai di kalangan orang muda yang khuatir, bahawa UMNO dan Barisan Nasional terlalu walang hati untuk membuka denai politik kepada generasi pelapis parti. Jika kita berada di dalam rahim politik yang sama; kita akan sentiasa tahu dan faham, bahawa amanah menjaga kelangsungan parti, haruslah menjadi tanggungjawab besar yang mesti dikelek setiap ahli.

Kayu palang PRU-14 akan dibuka pada bulan-bulan yang kehadapan ini. Rakyat sedang menilai dan memerhati. Kesungguhan kita mendendang alun irama transformasi - akan juga dinilai dengan bersekali dengan komitmen kita dalam langkah meremajakan parti.

Ini bukan proses yang semberono dan membuta tuli. Kita cukup faham, garis ukur nilaian ini memgambil kira banyak angkubah yang mungkin kita sendiri tidak arif dan faham. Namun, kita juga mengharapkan ianya dilakukan selari dengan nawaitu dan pandangan, bahawa usaha memalarkan parti dapat dilakukan dengan berkesan.

Janganlah kesungguhan orang muda bekerja dan berbakti kepada masyarakat, dianggap dan dinilai sebagai cubaan untuk meminggirkan sesiapa. Sebagai ahli politik muda, kita seringkali diingatkan untuk mendekati dan mengakrabi rakyat. Kita hanya memberi pilihan wajah dan komitmen berbeza kepada pengundi. Kesetiaan kita kepada parti, tidak pernah berganjak dan berubah.

PRU-14 adalah peluang paling afdal untuk parti mengetengahkan bakat dan pemain baru. Proses pencerakinan hala arah sokongan rakyat, pastinya akan dilakukan dengan jitu dan tuntas. Sebahagian pengundi akan melihat kepada 'pengalaman'; sebahagian yang lainnya akan menilai kepada iltizam dan kesungguhan. Gandingan pengalaman dan 'darah baru' inilah yang paling wajar menjadi pemuka UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Bukan amalan orang muda untuk bertikam hujah dengan pimpinan. Apapun keputusan, akan kita kelek dan gandar dengan sepenuh hati. Survival dan kelangsungan perjuangan yang lebih perlu kita pertahankan. Tanzil petunjuk yang diberikan pimpinan, akan kekal menjadi azimat perjuangan.

Yang penting, UMNO dan BN tidak boleh kandas di dalam ikhtiar meyakinkan generasi muda bahawa inilah wadah politik masa hadapan. Generasi muda, yang sering diriuhkan dengan aspirasi 'TN50' pastinya mahu melihat wajah pembaharuan sewajarnya kepada saf yang bakal ditampilkan.

Dato Saiful Hazizy bin Zainol Abidin
Ketua Pemuda UMNO Kedah.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post