Sultan Kedah Namakan "Mahawangsa" Buat Burung Helang Merah THLL


LANGKAWI - Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan memberikan nama 'Mahawangsa' untuk burung Helang Merah yang dipelihara di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) di sini.

'Mahawangsa' adalah singkatan daripada Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan susur galur pengasas Kedah.

Nama untuk haiwan jinak yang dipelihara sejak kecil dan kini mencecah usia 15 tahun itu diperkenankan Sultan Sallehuddin ketika baginda mengunjungi produk pelancongan itu, hari ini.

Terdahulu, baginda yang ditemani Sultanah Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff tiba pada jam 10 pagi dan disambut Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Pengurus Besar THLL, Teoh Cheng Kung.

Turut berkenan berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff.

Ketika ditemui, Cheng Kung berkata, pihaknya sangat teruja apabila Sultan Kedah dan Sultanah Kedah berkenan mengunjungi taman itu yang kebetulan menyambut ulang tahun ke-15 pada tahun ini.

"Kunjungan diraja ini menjadi lebih bermakna apabila Tuanku sudi menamakan burung Helang Merah peliharaan kami yang juga dikenali Brahminy Kite atau nama saintifiknya Haliastur indus sebagai 'Mahawangsa'.

"Tuanku turut berkenan melepaskan 15 burung Serindit sebagai gimik ulang tahun ke-15 taman ini selepas memulakan operasi pada 2002 dan kini muncul antara destinasi mesti lawat kepada pengunjung di pulau ini," katanya.

THLL juga telah mendapat lima pengiktirafan portal pelancongan terbesar Tripadvisor.com selama lima tahun berturut-turut sejak 2013 iaitu Anugerah Kecemerlangan 2013, 2015, 2016 dan tahun ini, selain Tempat Tarikan Pilihan Pelancong (2014). 

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post