Program IMAN Tahun Hadapan Akan Ada Perkara Baru Dan Penambahbaikan - Shaiful Hazizy


ALOR SETAR - Melihatkan sambutan cukup menggalakkan daripada anak-anak negeri untuk menyertai program Internship Mahasiswa Anak Negeri (IMAN) 2.0 yang sudah pun memasuki edisi kedua, tidak mustahil akan ada lagi perkara-perkara baharu dan penambahbaikan yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Pengerusi Program IMAN 2.0, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, beliau optimis kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap per­kara itu bersandarkan kepada sambutan menggalakkan diterima sepanjang dua tahun pelaksanaannya.

“Ini adalah platform yang cukup baik untuk para siswazah menimba pengalaman dan turut berpeluang ditawarkan bekerja se­cara kontrak atau tetap sebaik sahaja program itu tamat dalam tempoh enam bulan.


“Disebabkan itu, tawaran di­terima cukup menggalakkan de­ngan difahamkan lebih 1,000 permohonan diterima pada tahun ini dan tahun lepas, jadi tidak mustahil kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk membuka le­bih banyak kuota, kemungkinan kepada 75 atau 100 siswazah pada tahun depan berbanding cuma 50 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau­ perjalanan sesi temuduga melibatkan 408 calon yang disenarai pendek untuk mengikuti program tersebut di Dewan Seri Ne­geri, Wisma Darul Aman di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, untuk edisi kedua tahun ini, jumlah agensi dan jabatan terlibat yang bakal menempatkan calon-calon terpilih turut bertambah berbanding tahun lalu.

“Bermula tahun ini, calon yang berjaya tidak hanya ditempatkan di agensi kerajaan negeri se­perti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Exco dan syarikat milik kerajaan negeri (GLC) saja, malah turut berpeluang untuk menjalani latihan di agensi atau jabatan kerajaan Persekutuan yang mempu­nyai pejabat di Kedah, antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) serta Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).


“Keseluruhannya terdapat ki­ra-kira 50 agensi dan jabatan kerajaan terlibat. Untuk tahun depan, ada kemungkinan kerajaan negeri akan berbincang dengan syarikat-syarikat swasta pula bagi me­nempatkan jumlah peserta yang lebih ramai,” katanya.

Tambahnya, antara perkara yang menarik perhatian sebegitu ramai calon membuat permohonan untuk menyertai program tersebut ialah modul-modul latihan ditawarkan diyakini mampu menambah kemahiran-kemahiran yang tidak diajar secara formal di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

“Selain menjalani latihan secara terus dengan agensi dan jabatan kerajaan terlibat, mereka yang terpilih ini juga akan menyertai beberapa kursus dalam tempoh dua bulan, antaranya pembangunan kendiri seperti menangani tekanan di tempat kerja dan bercakap di depan orang ramai.

“Perkara sebegitu sudah tentu mendatangkan manfaat kepada mereka untuk berdepan kerjaya sebenar pada masa akan datang. Saya yakin, mereka yang mengikuti program ini akan mempunyai peluang lebih cerah untuk memasuki pasaran kerja pada masa depan,” katanya.

#BARAKAHAnakMuda
#InternshipMahasiswaAnakNegeri
#MuafakatKedah


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post