Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff memuji semangat anak buahnya yang berjaya mara ke final Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut meskipun pincang tanpa tiga tonggak utama ketika menewaskan FELDA United 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman..
Dua gol yang dihasilkan oleh pemain import, Sandro Mendonca pada babak kedua sudah cukup untuk skuad Helang Merah mengecewakan pasukan pelawat menerusi agregat 3-1.
Ketiadaan kapten Khairul Helmi Johari, arkitek pasukan Liridon Krasniqi dan penyerang Ken Ilso tampak memberi kesan apabila Kedah bermain agak perlahan pada separuh masa pertama tanpa sebarang percubaan tepat.
Bagaimanapun mereka bangkit dengan aksi lebih meyakinkan pada 45 minit kedua apabila serangan pantas mereka menghukum pertahanan FELDA.
"Walaupun tanpa tiga tonggak utama, kami masih dapat bermain dengan baik. Semua pemain mengikut arahan. Pemain bersabar untuk menjaringkan gol. Kedah bermain secara sepasukan dan kita menghasilkan gol secara berpasukan.
"Kami akan bertemu Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di final, saya percaya kami sudah bersedia untuk berdepan mereka sekali lagi selepas Piala Sumbangsih dan Piala FA," kata Nidzam dalam sidang media selepas perlawanan.
Kedah sebelum ini menewaskan Johor DT dalam perebutan Piala Sumbangsih menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas permainan terikat 1-1. Skuad Helang Merah kemudian sekali lagi mengecewakan Harimau Selatan 3-2 di final untuk menjulang Piala FA.
Ini final ketiga Piala Malaysia berturut-turut buat Kedah yang menjulang kejuaraan tahun lalu dengan mengalahkan Selangor hasil penentuan sepakan penalti 6-5 selepas permainan seri 1-1.
Sementara itu, bagi pengendali FELDA United, B Sathianathan, beliau mengakui anak buahnya tidak beraksi baik khususnya pada babak pertama.
"Babak pertama kami tak bermain, hanya Kedah bermain. Pemain saya tidak melakukan terjahan dan mengatur gerakan, mungkin mereka ambil mudah bila Kedah tiada tiga pemain utama.
"Tapi separuh masa kedua bermain baik cuma kami gagal menjaringkan gol yang diperlukan. Percubaan Thiago Augusto terkena tiang dan beberapa percubaan pemain lain yang biasanya boleh menghasilkan gol pula tersasar," katanya.