ALOR SETAR - Bajet 2018 bersifat inklusif yang terbaik dalam sejarah sepanjang 30 tahun lalu yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membawa limpahan kepada banyak segmen komuniti di Kedah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, elaun khas RM200 selama tiga bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian antara pakej terbaharu yang belum pernah dinikmati selama ini.
Katanya, insentif itu akan menguntungkan ratusan ribu pesawah di negeri jelapang padi ini.
"Demikian juga pengumuman Bukit Kayu Hitam sebagai Special Border Economic Zone dan bandar Bebas Cukai serta penghapusan tol Bukit Kayu Hitam dapat melakar usaha negeri yang kini aktif menarik pelaburan.
"Ia juga dapat mewujudkan kesan limpahan dengan jangkaan 30,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, melengkapi adalah pembinaan Pusat Kanser Negara berjumlah RM500 juta di Sungai Petani sekaligus mampu menjadikan negeri ini lebih terkehadapan dari segi penyediaan rawatan dan menggalakkan lagi pelancongan berasaskan kesihatan.
"Pakej disemarakkan melalui kelulusan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
"Demikian juga kenaikan elaun imam, bilal, siak, guru KAFA serta keprihatinan bagi menaiktaraf Maahad Tahfiz dan Institusi Pondok menerusi dana RM40 juta," katanya.
Katanya, pelbagai insentif yang disediakan serta yang diumum oleh Perdana Menteri itu khususnya melibatkan Kedah mampu mengukuhkan fungsi negeri untuk lebih berdaya saing di masa mendatang. Sumber - Utusan Online