Barisan Nasional Negeri Kedah dijangka bakal menghadapai tentangan sengit dari pihak pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sekiranya leka dalam memberikan khidmat terbaik buat rakyat di negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, BN tidak mungkin akan hanya berpeluk tubuh menghadapi cabaran itu dan terus berjuang membuktikan kelebihan parti itu memberi khidmat terbaik kepada rakyat berbanding parti lawan.
"Pada kali ini cabaran kita agak lebih hebat. Tetapi takkanlah kita nak berpeluk tubuh?," tegas Ahmad Bashah ketika merasmikan persidangan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar.
Tegas beliau, BN sering terkehadapan dalam memiliki kelebihan gerak kerja berkesan bersama parti-parti komponen yang terdiri dari pelbagai kaum majoriti berbanding parti pembangkang yang berpecah belah.
Malah katanya, UMNO Kedah sedang memberi tumpuan sepenuhnya untuk menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan rakyat di negeri ini terus memberi sokongan majoriti tidak berbelah bagi kepada BN pada PRU ke-14 nanti.
"Kita nak supaya kali yang ke-14 ini, kita juga terus diberi kepercayaan oleh rakyat di seluruh negara dan juga di seluruh negeri Kedah," ujar Ahmad Bashah.
Justeru itu, Menteri Besar Kedah menggesa supaya seluruh jentera Wanita UMNO di negeri ini bergerak lebih aktif daripada biasa untuk memberi keyakinan kepada rakyat terhadap BN.
"Rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India, semua bangsa parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) kena bekerja.
"Tumpuan kita selepas ini ialah kita nak gerakkan seluruh jentera parti untuk menentukan supaya rakyat akan bersama dengan kita," katanya penuh semangat.
YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan BN Negeri turut memberi amaran tentang kelicikan pembangkang yang mampu mempengaruhi rakyat dengan retorik politik yang memanipulasi minda dan fakta yang tidak sahih.
Namun katanya, rakyat di bawah bijak menilai siapa sebenarnya yang memberi khidmat terbaik kepada mereka dan akan memilih parti yang dilihat terbukti mampu memastikan kebajikan majoriri rakyat terus terbela.
"Siapa pandai, dia akan menang. Siapa buat kerja bersungguh-sungguh, dia boleh mempengaruhi rakyat,".