ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengucapkan tahniah kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Md Rozai Sapian atas kebijaksaan beliau mengendalikan sepanjang Persidangan Dun Kali Ke-5.
Mengulas mengenai perjalanan Sidang Dun kali ini, Ahmad Bashah berkata, Speaker Dun yang berpengalaman itu berjaya mengawal sidang dewan dengan baik dan mengetengahkan pelbagai soalan membabitkan kepentingan negeri dan rakyat Kedah.
"Tahniah saya ucapkan kepada Speaker Dun, Datuk Md Rozai Sapian. Beliau berjaya mengawal perjalanan Sidang Dun kali ini dengan baik dan berkesan.
"Saya tengok di sidang Dun negeri lain agak hangat, tapi kita di sini berlangsung dengan keadaan harmoni dan baik. Walaupun kita ada Adun pembangkang yang agak ramai, 16 orang, tapi agak tertib.
"Kalau ada pun, hanya seorang dua saja yang agak lantang sikit, itu hak merekalah. Biasalah, kalau kita di tempat pembangkang pun kita mungkin lebih kurang begitu juga," kata Ahmad Bashah kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.
Kata Menteri Besar, sesi penggulungan Exco-Exco Kerajaan Negeri pada sidang Dun Kedah kali ini lebih terbuka berbanding biasa di mana Speaker Dun turut memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang isu berbangkit.
Jelas beliau, sesi penggulungan persidangan kali ini turut disusuli dengan pencerahan dari Exco-Exco Kerajaan Negeri dan pendekatan itu dilihat mampu memberi penjelasan lanjut kepada semua pihak di dalam dewan.
"Selalunya sesi penggulungan adalah giliran Exco beri penjelasan, tapi kalau ada lagi pencerahan maka ia menunjukkan Exco kita adil dan saksama demi kepentingan rakyat dan negeri dengan memberikan penjelasan lebih lanjut," kata beliau.
Selain itu, Ahmad Bashah menjelaskan bahawa tempoh sidang Dun Kedah juga adalah normal dan sama seperti persidangan Dun di negeri lain yang hanya mengambil masa kira-kira tiga hingga empat hari.
Beliau berkata, selalunya hanya persidangan Dun yang melibatkan pembentangan Bajet Negeri sahaja yang akan memakan masa hingga empat hari.
"Tapi sidang Dun kali ini pun kita berlangsung hingga empat hari walau tiada pembentangan Bajet. Jadi tidak timbullah pertikaian tentang masa singkat dan sebagainya," kata Menteri Besar itu.
Difahamkan, bahawa segelintir Adun Pembangkang mendakwa kononnya tempoh persidangan Dun kali ini agak singkat dan tidak dapat mengemukakan soalan lebih banyak di dalam dewan.