Realistik, Kedah Fokus Dua Projek Mega Dalam Blueprint 2.0 - MB Kedah


Kedah memberi tumpuan kepada dua projek mega iaitu Bandaraya Getah Kedah dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dalam Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2016-2025 (Blueprint 2.0) yang dilancarkan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sudah tiba masanya Kedah berubah dari sebuah negeri pertanian kepada negeri perindustrian berimpak tinggi menjelang 2025.

"Di kawasan KSTP, kita ada 1,900 ekar dan fasa satu cuma ada sikit lagi untuk diselesaikan. Rubber City kita dah dapat peruntukan RM320 juta dan mula bina beberapa kelengkapan infrastruktur dan proses pengambilan tanah.

"Bagi kedua-dua projek ini, kita bersyukur kerana kerajaan Persekutuan beri komitmen penuh dan kita mahu segerakan projek ini bagi menggamit pelabur ke Kedah," katanya selepas majlis pelancaran Blueprint 2.0 di sini, kelmarin.

Beliau berkata, walaupun pelan tindakan itu telah dirangka namun, idea dan pandangan rakyat masih diperlukan supaya rancangan kerajaan dapat dimanfaatkan rakyat keseluruhan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq berkata, NCIA mengambil kira status sosioekonomi Kedah dalam merancang pembangunan sewajarnya.

Beliau berkata, dengan adanya lingkaran kawasan yang starategik, KSTP dan Bandaraya Getah mampu membawa limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini dan negara selain memacu ekonomi berasaskan perindustrian dan teknologi.

"KSTP merupakan sebuah kawasan pembangunan perindustrian di Sungai Laka, Bukit Kayu Hitam yang terletak di kawasan strategik di antara Malaysia dan Thailand dengan ia memfokuskan Pusat Penyelidikan Global dan Taman Perindustrian Moden serta bakal menjadi pemacu ekonomi dan menyediakan banyak peluang pekerjaan yang bernilai tinggi," katanya.

Sementara itu, Bandaraya Getah pula sangat diperlukan kerana ia berada di dalam lingkaran Ekonomi Getah Nasional di antara kedua-dua negara.

"Di dalam kawasan yang mempunyai pembangunan ekonomi yang minimum, kewujudan Bandaraya Getah akan menyediakan industri hiliran kepada komuniti setempat dengan menggalakkan pembangunan infrastruktur awam serta mencipta pekerjaan dan perniagaan baru,"jelasnya.

Selain KSTP dan Bandaraya Getah, Kedah turut merancang membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Bandaraya Aero Kedah, Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (Spike) dan Bandaraya Sains Perubatan Kedah. – Bernama

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post