Ahli PPBM Adalah Golongan Kecewa, Kembalilah Ke Pangkal Jalan



Pemuda UMNO Kedah percaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini dilanda keretakan dan diyakini semakin merebak, termasuk ke negeri ini. Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa bekas ahli UMNO yang kini bersama PPBM segera kembali menyertai UMNO.

Beliau berkata, Pemuda UMNO yakin beberapa petunjuk termasuk tindakan pengasas PPBM yang dilihat meninggalkan parti itu sebagai petanda awal ia sedang mengalami keretakan dalaman dan menunggu masa untuk dibubarkan.

Malah, katanya Pemuda UMNO Kedah percaya ada beberapa pimpinan PPBM di beberapa kawasan di Kedah juga akan mengalami masalah yang sama, ibarat retak menanti belah. "Pemuda UMNO Kedah yakin fenomena ini terjadi atas beberapa faktor. Pertamanya adalah faktor kepemimpinan khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden yang tidak berapa diterima dan diyakini oleh akar umbi parti itu.

"Ahli PPBM lebih melihat aura dan legasi Tun Dr Mahathir Mohamad beserta keturunannya sebagai kayu ukur utama. Fantasi pengikut PPBM ini dilihat melemahkan parti di mana Tun Mahathir hakikatnya adalah pemimpin 'de facto' PPBM," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shaiful Hazizy berkata isu kemahiran berpolitik pimpinan PPBM turut menjadi faktor apabila dua pemimpin tertinggi iaitu Muhyiddin dan Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, cenderung diangkat atas dasar gelombang dan bukannya berlandaskan kemahiran mengemudi parti dan berpolitik.

"Struktur ahli yang lemah dan kurang sambutan juga perlu diambil kira. Ahli PPBM sebenarnya ramai dalam kalangan kumpulan UMNO yang kecewa dan serpihan individu yang kalah dalam pertandingan di peringkat parti UMNO... jati diri lemah dan prinsip goyah akan membawa kepada penghijrahan beramai-ramai pada masa akan datang.

"Oleh itu Pemuda UMNO Kedah menyeru bekas ahli UMNO yang menyertai PPBM supaya segera kembali ke pangkal jalan. UMNO terbukti sebuah parti 'pemaaf' dan progresif dan boleh menerima kembali ahlinya yang tersilap langkah.

"PPBM boleh diibaratkan sebagai sebuah bahtera yang sedang bocor dan menunggu masa untuk karam akibat pertelagahan nakhoda, oleh yang demikian wajarlah ahlinya segera mencari bahtera baharu yang lebih kukuh dan stabil," katanya.







SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post