Ahli Politik Berkebolehan Mampu Menguruskan GLC - MB Kedah


ALOR SETAR: Cadangan supaya ahli politik tidak dilantik mengendali syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mencegah amalan rasuah dan salah guna kuasa, seolah-olah menafikan peluang serta kemampuan mereka menerajui syarikat korporat. 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata ahli politik tidak seharusnya dipandang sebagai golongan yang cenderung melakukan rasuah, sedangkan hakikatnya sesiapa sahaja boleh terbabit dalam jenayah itu. 

"Kita tak boleh kata orang politik macam itu sebab ada juga mereka yang baik... kalau ada unsur perbuatan rasuah, tak kira sama ada ia dilakukan orang politik atau bukan. "Tidak seharusnya kita menidakkan hak, kemampuan dan kepakaran mereka dalam menguruskan GLC ... kalau kepakaran itu disia-siakan kita juga yang rugi, " katanya selepas melancarkan Skuad Sukarelawan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH), di sini.. 

Beliau berkata demikian mengulas saranan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bahawa ahli politik tidak harus dilantik dalam menguruskan GLC berikutan mereka berkemungkinan berdepan percanggahan kepentingan yang membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan tanggungjawab. 

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, berkata usaha bagi mengawasi perbuatan rasuah itu seharusnya diserahkan kepada agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

"Kita ada agensi yang mengawasi, jadi serahkan kepada mereka kerana tak kira sesiapa pun boleh kena (tindakan jika bersalah)... kalau terbukti salah, mereka tak boleh lari sama ada ia membabitkan rasuah kecil atau besar," katanya. 

Ahmad Bashah berkata beliau sentiasa memberi kepercayaan kepada ahli politik menguruskan GLC di Kedah kerana percaya dengan kemampuan SPRM yang sentiasa peka mengawasi perlakuan sedemikian jika ada. "Kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dengan SPRM, malah tidak akan membela mana-mana individu sama ada ahli politik atau pegawai kerajaan yang terbabit dalam kegiatan rasuah," katanya. 

Mengenai majlis hari ini, beliau berkata Skuad Sukarelawan BARAKAH diarahkan menjejaki semua golongan miskin di Kedah yang berkemungkinan terlepas pandang daripada menerima bantuan sebelum ini untuk dibantu.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post