Tun M Terdesak Guna Agama Serang Kerajaan - Ahmad Bashah



ALOR SETAR: UMNO Kedah menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai terdesak sehingga sanggup menggunakan sentimen agama menyerang kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata Dr Mahathir tidak patut menggunakan agama demi kepentingan peribadi. "Sejak kebelakangan ini, beliau (Dr Mahathir) suka menjatuhkan hukum seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) itu rasuah dan terbaru haji tidak mabrur bagi individu yang menunaikan haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

"Beliau terdesak guna sentimen agama untuk jatuhkan kerajaan. Siapa pun yang menaja haji kita, kita patut berdoa supaya amal ibadat kita diterima Allah, bukan dia (Dr Mahathir) yang tentukan. "Tugas kerajaan adalah membantu rakyat, beri bantuan sesuai dan BR1M adalah antara contohnya. "Ada rakyat terima beras dan barang keperluan dapur, itu tidak dipanggil rasuah," katanya selepas meninjau sesi persekolahan baharu 2017 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mergong di sini, hari ini. 

Dr Mahathir selaku Pengerusi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), membuat dakwaan berkenaan dalam ceramah di Taman Wira Mergong, di sini, baru-baru ini.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post