Ahli UMNO Masuk PPBM Hanya Nak Kejar Jawatan - Ahmad Bashah



ALOR SETAR: Ahli UMNO yang lompat parti ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hanya mahukan jawatan selepas hilang daripada radar parti. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pihaknya mengakui memang wujud segelintir ahli UMNO yang beralih arah ke parti baharu terbabit. 

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, tindakan terbabit hanya didorong rasa kecewa dan berasakan dapat bersinar kembali dengan menjadi pemimpin dalam PPBM. 

"Memang ada yang keluar UMNO dan masuk PPBM ini tapi tindakan mereka ini disebabkan kecewa dan sudah hilang dari radar UMNO. 

"Mereka berharap dengan platform parti baharu ini, mereka dapat jadi Ketua Cawangan, Ketua Bahagian, tapi mereka tak tahu sebenarnya bukan mudah nak jadi pemimpin," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 720 penerima, di sini, hari ini. 

Beliau mengulas dakwaan sebanyak 63 peratus ahli UMNO Kedah melompat ke PPBM, yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Ahmad Bashah berkata, UMNO bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang. 

"UMNO Kedah akan menggunakan peruntukan tahun depan sebaik-baiknya dalam menggerakkan persediaan menghadapi PRU," katanya.


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post