5,000 USAHAWAN DARI WILAYAH UTARA

9usahawan

SUNGAI PETANI - Seramai 5,000 usahawan bumiputera dari wilayah utara disasarkan mendaftar pada Program Keusahawanan Bumiputera (Bahtera) Edisi Utara diusahakan Kementerian Kewangan melalui Pejabat Pembangunan Keusahawanan Nasional (Nedo) yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, Bahtera mendapat sambutan menggalakkan dari usahawan dari kawasan utara.
Menurutnya, setakat ini rekod pendaftaran adalah seramai 3,500 usahawan dan sasar adalah 5,000 usahawan muda dari Wilayah Utara kerana banyak keunikan dan perbezaan produk yang terdapat di kawasan utara.
"Antaranya seperti produk makanan, herba dan juga kecantikan yang berpotensi untuk diketengahkan dalam pasaran antarabangsa,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Bahtera 2016, (Edisi Utara) yang disempurnakan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob.
Hadir sama, Pengarah Unit Strategi Nasional (NSU), Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pejabat Nedo, Mohd Zahrain; Koordinator Program Bahtera 2016 Edisi Utara, Nadira Mohd Yusoff.
Beliau berkata, menerusi program yang terbuka kepada semua sektor, kerajaan berharap menjana sekurang-kurangnya RM10 juta dalam perjanjian perniagaan dalam kalangan usahawan bumiputera.
Menurutnya lagi, program itu terbuka kepada semua sektor termasuklah sektor makanan, fesyen dan pelancongan itu menyediakan latihan dan bimbingan kepada usahawan baru dan usahawan yang sudah lama menjalankan perniagaan.
“Latihan dan bimbingan diberikan kepada usahawan dari syarikat baru atau yang belum mempunyai syarikat manakala bagi syarikat yang sudah beroperasi, mereka dapat mewujudkan rangkaian perniagaan menerusi jualan dan pameran di gerai yang disediakan.
“Kami juga mewujudkan pangkalan data khusus untuk bumiputera bagi menyenaraikan syarikat mereka di dalam pasaran .
"Ini sekali gus memberi lebih peluang perniagaan, selain kerjasama bersama Matrade bagi memberi peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara,” katanya.
Tambah beliau, Bahtera merupakan inisiatif bersama di antara sektor swasta dan kerajaan di peringkat tempatan dan nasional adalah satu platform yang bukan setakat menggalakkan masyarakat bumiputera memulakan perniagaan.
“Sebaliknya ia adalah satu platform yang mengetengahkan cara baru, model perniagaan baru berasaskan Strategi Lautan Biru, penggunaan teknologi berkesan dan penyertaan dalam bidang ekonomi yang baru dan bakal muncul,” katanya.
Kedah dipilih sebagai negeri pertama selepas Bahtera dilancarkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan ia disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk perkembangan aktiviti keusahawanan di Malaysia selari dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera digagaskan dalam Rancangan Malaysia ke-11.-Bernama

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post