JABATAN ALAM SEKITAR, KEDAH DIMINTA SEGERA BERTINDAK

26jasa

SUNGAI PETANI - Seramai 300 penduduk di Kampung Kemumbung, Si­dam Kiri di sini merayu pihak berwajib khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah segera tampil menyelesaikan masalah pembuangan sampah dari kilang dan pusat beli-belah ke kawasan lombong pasir lama yang didakwa melimpah sehingga ke dalam Sungai Muda.
Rata-rata mereka mendakwa pencemaran itu berlaku terlalu hampir dengan rumah masing-masing iaitu hanya sekitar 100 meter dari penempatan penduduk sehingga mengundang rasa kurang selesa termasuk kedatangan lalat, pedih mata serta bau yang amat busuk.
Seorang penduduk, Md. Isa Othman, 55, berkata, adalah tidak wajar pelbagai bahan terbuang kilang, termasuk dari Kulim dan Sungai Petani dibuang ke pusat pelupusan sampah yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa di daerah Kuala Muda.
“Kadang-kadang timbul bau busuk yang tidak menyenangkan, kami amat bimbang kemungkinan pelbagai bahan asid turut dibuang ke dalam lombong pasir itu.
“Sudah lama kami adukan kes itu kepada pihak-pihak tertentu iaitu sejak 10 tahun lalu tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil, sepatutnya pihak ber­ke­naan melakukan pemantauan selepas menerima aduan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dipercayai pemilik tanah di situ mengenakan bayaran yang terlalu murah bagi menarik minat lori luar membawa bahan bua­ngan bagi tujuan menimbus semula lombong pasir itu.
Seorang lagi penduduk, Abdul Rahman Abu Hassan, 47, mendakwa, sampah dari kilang itu bukan sahaja dibuang dalam kawasan itu malah sudah melimpah ke kawasan Sungai Muda pula.
“Dalam keadaan ini, kami sendiri tidak tahu pihak mana yang bertanggungjawab. Setiap agensi yang diadu tampil de­ngan alasan tersendiri untuk tidak mengambil tindakan.
“Selagi kes itu tidak dibuat pemantauan serius dan tindakan tegas, Sungai Muda bakal dicemari tidak lama lagi. Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) pula dikatakan tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan kerana perkara itu terletak di luar kawasan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Yusoff Othman, 43, memberitahu, ba­nyak anjing liar berkeliaran pada sebelah malam di sekitar kampung tersebut pada masa ini.
“Dulu anjing liar tidak begitu banyak tetapi kini hampir 50 ekor berada di kawasan pelupusan sampah itu. Pada sebelah malam pula anjing-anjing itu mengganggu kambing dan ayam penduduk.
“Kami mahu pihak berkuasa segera melakukan sesuatu bagi memastikan keadaan di sini terus berada dalam suasana selesa se­perti dulu tanpa ada bau busuk dan gejala lain yang tidak menye­nangkan,” katanya. - Utusan



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post