#Isu Air : Cermat, Bertoleransi Guna Bekalan Air - Tajul Urus


Tajul Urus membuat lawatan ke sekitar Dun Tanjung Dawai selepas menerima aduan daripada pengguna berhubung dakwaan ketiadaan bekalan air yang dihantar.
SUNGAI PETANI – Pengguna di kawasan terjejas krisis air terutama di Kawasan Dun Tanjung Dawai diminta berjimat cermat dan bertoleransi dengan pihak penghantar bekalan memandangkan ramai pengguna yang berhadapan masalah sama.

Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pengguna diharapkan menggunakan bekalan air dengan cara berhemah kerana kerajaan negeri seboleh-bolehnya berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan keperluan itu dapat dipenuhi.

Tajul berkata, beliau ada melakukan lawatan setelah mendapat aduan berhubung tiada bekalan air yang dihantar ke rumah sekitar Dun Tanjung Dawai.

“Semalam saya terima aduan dan keluar buat pemeriksaan mengejut namun saya dapati semua rumah yang saya lawati tu masih ada air.

“Saya tengok orang yang buat aduan tu ada tong besar dan air penuh, orang kita ni tak hargai, depa main-main saja. Setakat ini memanglah kawasan Tanjung Dawai termasuk Batu Hampar dan Merbok masih mengalami masalah air dan tiada air paip.

“Bagaimanapun, tindakan untuk menyelesaikan sekarang ialah terus menghantar air dari rumah ke rumah, saya ada minta penghantaran setiap hari tetapi mereka sudah ada jadual misalnya kawasan gerai di Tanjung Dawai akan dihantar pada sebelah malam sebab waktu siang lori ada jadual lain,” katanya.

Menurut beliau, selagi air tadahan Gunung Jerai masih terjejas, bekalan air di Loji Tupah dan Merbok tidak dapat diagihkan.

Dalam masa sama, katanya, beliau sedang bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains untuk melihat dan kenal pasti lokasi sesuai telaga tiub di beberapa tempat di Merbok dan Batu Hampar memandangkan kawasan Tanjung Dawai tidak sesuai kerana berdekatan laut.

“Kita akan tambah satu dua lagi telaga tiub di Tupah dan Merbok sekiranya berpotensi, Jabatan Mineral dan Geosains juga dah tengok kawasan ni termasuk nak menaik taraf sistem telaga tiub di Maktab Rendah Sains Mara Merbok supaya bekalan dari situ boleh digunakan,” katanya. - Sinar

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post